Jumaat, 1 April 2011

LAPORAN GURU BERTUGAS MINGGUAN

Jarang sekali aku tulis entri tentang hal  ini. Memang tidak pernah. Ucapan guru bertugas mingguan. Namun kerana ada yang tercari-cari perkara tersebut, nah...ini ucapan aku pada perhimpunan Isnin 28 Mac yang lalu ini.

Mengajar di kelas sudah sebati, namun berucap dalam perhimpunan sekolah bukanlah perkara yang mudah. Kerana apa yang kita perlu katakan dalam khalayak murid, haruslah sesuatu yang baru, dan bukanlah perkara yang telah diulang banyak kali. Bertambah ngeri kerana ucapan ini turut dipantau oleh rakan-rakan guru yang sememangnya berkaliber belaka. Sejujurnya aku katakan, walaupun aku sudah mengajar 23 tahun, sesekali gementar apabila berucap dalam perhimpunan wajib itu. Sebab tu ada cikgu yang sanggup MC daripada berucap dalam perhimpunan. Percaya ke tak?

OKLAH, Antara intisari ucapan aku 28 Mac itu ialah:
  1. Majlis Agama Islam negeri Johor telah menyumbangkan pakaian seperti baju, seluar, kain, stokin dan kasut kepada 43 orang pelajar (yang dikategorikan susah). HEM En Md Janis Abdul Rahman berpesan, andainya ada yang telah sempit, harap pelajar-pelajar berkenaan sedekahkan kepada kaum kerabat. Ini kerana ia tidak boleh ditukar. Saiz yang diberi ialah saiz tahun lepas. (Nampaknya MAIJ kena bagi sumbangan berupa duitlah lain kali).
  2. Pada hari Khamis yang lepas 24 Mac telah diadakan Pertandingan Bercerita dan Khat bagi Zon Parit Sulong. Sekolah telah menjadi tuan rumah. Seorang wakil sekolah kita telah menjadi Johan Tulisan Khat. Tahniah kepada Nurul Aini Najikhah Bt Abdul Halim. (Tepukan gemuruh oleh semua pelajar). 
  3. Sabtu 26 Mac, telah diadakan latihan sukantara. Selepas itu pada hari tersebut guru-guru telah mengikuti kursus dalaman, kursus Profesionalisme. Penceramah hebat oleh rakan sejawat En Ahmad Salleh Suraimi dan En Jamal Azali.
  4. Pada 24 Mac juga, telah mula program Mentor Mente. Diharapkan tidak ada pelajar yang terus balik pada jam 1.00 petang.Program Mentor Mente akan terus dijalankan selepas ini, sehinggalah UPSR nanti.
  5. Kita tahu bahawa bencana gempa bumi dan tsunami telah melanda utara Tokyo meliputi pesisir kepulauan Honsu. Bandar Sendai, Miyagi dan lain-lain musnah binasa. Rumah banglo dan kereta idaman hanyut begitu sahaja, mereka tinggal di pusat-pusat bantuan. Namun disiplin orang Jepun tetap dijaga. Mereka berbaris dengan sabar semasa menerima bantuan. Kita lihat di negara kita..(aku sindir murid akulah).! Murid-murid kita berebut-rebut, menjerit-jerit kerana nak makan tiga batang keropok lekor! " Makcik...KEROPOK LEKOR tiga! Makcik, keropok lekor Tiga!!!" Apa ni? Awak semua dah tak makan setahun? Kamu macam tak nampak cikgu-cikgu kamu di situ? Kamu buat cikgu kamu macam tunggul! (Dah over pulak aku pada masa itu, cikgu kat belakang aku sound....Relak Som, relak...). 
  6. Kamu lihat di sekolah ada papan iklan baru. Bunyi dia, BULI...JANGAN TAKUT, JANGAN GENTAR, JANGAN LARI....SMS 33238. Siapa pernah kena buli? Buli terbahagi 2. Buli Mental seperti ejek nama kita, nama emak, nama ayah, pendek kata yang melibatkan perasaan. Buli Fizikal, jenis yang kedua seperti tarik rambut, tumbuk, pukul dan hal-hal yang melibatkan fizikallah. Kamu jangan jadi pembuli. Siapa yang jahat akan dihantar ke sekolah jahat. Ada banyak sekolah jahat, paling dekat di Teluk Emas Melaka, juga di Batu Gajah, Sabah ada dua, Sarawak ada satu. Nak kamu masuk sekolah jahat? (Budak-budak geleng kepala). Jika kamu terlibat dengan dadah, menipu, memeras ugut, memukul dan mencuri, kamu akan dihantar ke sana! Sebelum cuti yang lepas, terdapat berita dimana 20 orang pelajar SBP Integrasi Kubang Pasu dibuang sekolah kerana membuli seorang pelajar Tingkatan 4 dengan menjentik dahi budak itu. Mereka ini pelajar Tingkatan 5 sekolah tersebut. Tengok tu siapa yang susah kalau tak ibu-bapa mereka?
  7. Cikgu Norasyikin kata ada murid yang buang sampah di padang sekolah. Ini berlaku pada waktu rehat. Saya harap perbuatan ini dihentikan.
  8. Kelas terbersih Tahap 1- Kelas 3 Arif dan.....Tahap 2 dimenangi oleh Kelas 6 Azam. (Tn Guru Besar, En Ali Sarmin menyampaikan piala pusingan tersebut).
Begitulah sahaja ucapan saya pada pagi yang mulia ini. Wasalamualaikum warohmatullahiwabarokatuh....! 

1 ulasan:

aza ni berkata...

salam cikgu MSOM
aktiviti rutin memang perlu sentiasa update dgn keadaan terkini,supaya murid dapat mengikuti perkembangan semasa.