Selasa, 29 Mei 2012

MASAK MI GORENG RIMBA

Semalam, kerabat-sahabat kami mengajak kami jalan-jalan sempena cuti ni. Sahabat aku Cikgu Rahmat beria-ia mengajak aku bercuti di Pantai Puteri Melaka. Seorang lagi, abang ipar ajak kami mandi-manda di Tangkak sambil nak hantar anaknya ke Matrikulasi semalam. Seorang lagi ajak bermandi-manda di Air Terjun Bantang. Oh...bukan aku menolak atau tak nak join dengan kalian. Anak aku dua orang tu, Ili dan Irfan ada kelas tambahan penuh masa cuti ni.

Jadi, pagi tadi aku ajak anak aku dua orang lagi ni berkelah di......mana lagi, kebun kamilah. Syarat pertama mesti masak-masak mi. Kali ni Mi Goreng Rimba. Jom tengok aktiviti kami.....! Tak nak tengok pun tak apa.

Duta produk Indomee
Pagi ni hujan lagi, kayu-kayu jadi basah, aku guna daun sagu. Nampak oklah.....menyala sampai masak. Tu pun anak aku tertanya-tanya pokok sagu tu apa?
 Aku dah cakap makan mi segera ni tak boleh selalu, nanti rambut luruh dan otak jadi mereng. Tapi sebab sekali-sekala tak apalah kut.
 Okeyyyyy dah siap...jom makan. Ni pondok aku buat dengan kos yang paling murah. Tak sampai RM 100. Kayu tu aku potong-potong dari kebun aku nilah. Bayangkan dah 16 tahun kebun ni aku tinggalkan dan biarkan, sampai tumbuh pokok-pokok kayu sebesar tiang telefon.! Kalau aku bela kebun ni, dah lama aku pakai Camry.....huahuahua....!
 Dua hari lepas, aku SMS Kak Long aku, "Kak, dijemput ke istana aku, dah siap ni, ada masa singgahlah".....hahahaha...dia betul-betul datang menjenguk aku.....malu je. Kak Longlah yang paling banyak bagi motivasi supaya aku membersihkan kebun ni. Jalan ni pun masih baru lagi aku buat hari tu.
Arina main game. Pertama kali aku ajak dia ke sini. Mungkin dia sedang membayangkan macam tidur di
tepi pantai.

10000 DAH YANG TONTON



Oleh sebab tak ada entri lain nak cerita, so aku intai-intai video lama aku ni. Video yang entah apa-apa ni. Aku sakat dia orang, dengan mengambil gambar parit sekali yang menunjukkan bahawa kejadian ini berlaku di sebuah kampung dekat rumah emak aku. 


Memangle hebat sambutan ketika itu apabila 1700 buah motosikal besar berkumpul di sana sehingga aktiviti ekonomi lumpuh di kawasan yang dilalui mereka. 


Itu sejarah cerita video tu. Dua hari ni aku agak sibuk melayan tetamu. Adik-beradik. Semalam adik aku. Hari ni kerabat isteri aku. Jadi masa berborak dengan tetamu yang seramai 8 orang tu, tiba-tiba datang dengan rakus dua orang jurujual. Mereka ni tak gerun langsung ada beberapa kereta di depan rumah aku.


Tanpa banyak cakap, lelaki muda itu tanya aku 


 "Ada terima apa-apa dalam tiga hari lepas?" Di sebelahnya seorang gadis yang kelihatan tension.


"Tak apa...tak apa...." Aku macam biasa dengar soalan ni. Ni tektik gores dan menang. Lantas aku tutup gril. Lagi pun aku tengah sibuk layan tetamu. Tiba-tiba dia marah-marah....


"Apa tak apa, tak apa!" Pemuda Melayu itu seperti dah tak ada pendekatan lain. Lantas meninggalkan rumah kami dengan deruan kereta yang menunjukkan kemarahan. Malam setelah semua tetamu balik, aku kata dengan isteri aku yang aku telah berkasar dengan dua orang tetamu tak diundang itu.


Isteri aku memberi sokongan moral


" Dalam bab ini, jangan rasa bersalah..." Kata isteriku bak seorang pakar motivasi.


Aku kata, " Abang ni kalau boleh nak buat baik kepada semua manusia. Malangnya selalu gagal. Patutnya abang menolak dengan berbudi bahasa" Ayat skema, seorang suami bercakap dengan insteri.


Biasanya aku memang sentiasa tutup pagar. Fasal ada tetamu, aku bukalah. Ternyata jurujual sekarang sudah tidak peduli itu semua. Dan aku malu pulak dengan abang ipar dan kakak ipar aku tadi. Macamlah aku ada hutang along pulak! Geram!!!!!!

Sabtu, 26 Mei 2012

MAJLIS PERKAHWINAN DIMERIAHKAN OLEH PUTING BELIUNG

Perkahwinan Caleb dan Candra Pence di Kansas beberapa hari lalu, menjadi unik kerana ia berlatarbelakangkan PUTING BELIUNG yang dahsyat. Kesian..kesian....

Khamis, 24 Mei 2012

BUDAK 3 TAHUN MENUNGGANG MOTOSIKAL MAINAN DI JALAN PALING SIBUK!!!

Semalam aku menyaksikan video ini beberapa jam selepas diupload di CNN.Hari ini telah ada di Youtube. Dalam sehari telah ada 17000 orang yang menontonnya di seluruh dunia! Pengajaran, awasi anak kecil anda, kerana kanak-kanak generasi baru ini boleh melakukan apa-apa sahaja yang tidak terlintas di fikiran kita!

Selasa, 22 Mei 2012

PELANCARAN SPACEX FALCON 9 ROCKET



ROKET Falcon Nine SpaceX dan pesawat angkasa lepas Dragon dilancarkan dari kompleks 40 tapak pelancaran Stesen Angkatan Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat, hari ini. Pelancaran pertunjukkan itu adalah yang pertama dilakukan syarikat komersial bertujuan menghantar pesawat angkasa lepas dan kargo ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).


Isu roket tak menarik minat orang ramai sebab ada isu DEBAT PENGHAPUSAN PTPTN KHAIRY DENGAN RAFIZI

Ahad, 20 Mei 2012

MENULIS BLOG BUKAN AGENDA UTAMA LAGI

Mula-mula tulis blog dulu memang bersemangat sangat. Kadang-kadang sampai tak tidur malam. Sekarang nak tulis entri pun dah kurang masa. Lagi pun tulis blog dah bukan agenda penting aku. Kini aku banyak berada di kebun aku, maklumlah sejak arwah ayah aku beri kebun tersebut kepada aku, aku tak pernah pedulikannya. Sehinggalah kebun aku tu jadi tempat biba beranak pinak. Jin-jin berdansa-dansi, dan ular-ular bertelur. 


Letihnya kerja kebun bukan kepalang, dan apabila aku letak bantal, pasti nyenyak habis. Sehingga suara jeritan anak-anakku sudah tidak berkesan untuk mengganggu tidur aku. Memanglah sebahagiannya aku upahkan kepada kerabat aku, seperti menebang pokok-pokok leban, memotong pelepah pokok kelapa sawit yang terbiar. 


Ini semua sebagai persediaan untuk tempoh bersara 10 tahun lagi......! Tapi, tadi aku ada mendengar berita, seorang guru di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat telah meninggal dunia setelah sesak nafas kerana terhidu racun rumput yang disembur di kebunnya sempena cuti Sabtu semalam.....Oh....Kesian bukan?

Khamis, 17 Mei 2012

MANUSIA DAN AL QURAN


Pencipta telefon bimbit, menyediakan buku manual panduan penggunaan hand phone tersebut
Pencipta kamera DSLR, menyisipkan buku manual penggunaan kamera idaman tersebut
Pencipta IPAD 3, menyiapkan buku manual penggunaan IPAD tersebut

Dan Pencipta manusia....ya pencipta manusia telah menyediakan buku panduan untuk kegunaan manusia agar merujuk buku tersebut sebagai pedoman kehidupan, masyarakat dan bernegara........

Namun..... kita lebih suka menggunakan buku panduan yang dicipta oleh manusia untuk kegunaan kehidupan kita, menyebabkan kehidupan kita kini rosak dan berantakan, kerana kita tidak mengikut  buku panduan khas untuk manusia iaitu Al Quran. 

Sekian untuk malam ini. 

UCAPAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA SEMPENA HARI GURU 2012


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK
TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI 
PENDIDIKAN NEGARA”
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I; 
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II; 
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian 
Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah 
Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah 
Jabatan Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah 
Pelajaran Malaysia, 
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian 
Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puanpuan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
  
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin 
dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala 
Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita 
yang tidak  terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga 
Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. 
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. 
Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri 
Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada 
tahun ini.

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan 
tahun dari sekarang, negara  kita akan melalui satu fasa transformasi penting 
yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju 
apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda 
dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam 
persekitaran global yang lebih mencabar.
3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit 
cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling  getir adalah 
bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang 
terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita 
mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan 
mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di 
negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang 
untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama. 
4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama  kepada usaha 
meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu 
bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, 
berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang 
akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak 
merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan 
negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan 
kemakmuran masa depan kita bersama. 
5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. 
Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah 
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang 
bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan 
berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk 
negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa 
kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan 
murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan 
numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi 
bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan 
tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah 
menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan 
pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati,
6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guruguru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guruguru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan 
pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya 
insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap 
lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk 
menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih 
daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara 
perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana 
jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang 
rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap 
kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini. 
7. Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap 
mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi 
persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan 
pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu 
dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem 
pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, 
sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap. 
Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan 
dimantapkan kualitinya secara bersepadu. 
8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula 
Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama 
yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga 
telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa 
pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana  kita 
boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding 
dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk 
mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan 
idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.
9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan 
ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan 
yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam 
bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana 
kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.


GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI
Saudara dan saudari yang saya hormati,
10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi 
berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti 
adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa 
yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru 
berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid 
dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, 
kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam 
konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi 
akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai. 
Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan 
sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi
sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan 
pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran 
dicapai. 
11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan 
kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir 
dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan 
murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan 
semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan 
mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, 
guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran 
paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk 
mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya 
menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil 
langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka 
dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar. 
12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan 
apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah 
keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah 
mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk 
itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara 
untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya 
menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya 
semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita 
untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan 
berketrampilan akan tercapai. 

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI
13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di 
sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang 
bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, 
Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic
Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. 
Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu 
melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat 
antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, 
Subang Jaya.
14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar 
dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat 
Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN 
Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji 
kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih 
banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan 
antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit 
anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for 
the Gifted In Science di Korea. 
15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin 
bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah 
Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul 
Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong 
guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan 
tema Hari Guru tahun ini. 

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH 
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan 
inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek 
pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya 
yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada 
guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan 
pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru 
untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah 
murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.  
17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi 
Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program iThink. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai 
oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid.  Program ini 
telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke 
seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. 

18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi 
sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk 
membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini, 
sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran 
dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif. 
Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan 
sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara 
meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan 
kemampuan rakyat untuk berinovasi. 

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN
19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guruguru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan 
kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini, 
Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di 
sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang 
tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar 
dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima 
tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi. 
20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik 
anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru 
yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan 
keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana 
Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi 
menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, 
Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang 
merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban 
tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. 
Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan 
semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru 
ini menjelang tahun 2013. 
21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan 
Pembantu Tadbir N17 sehingga  Jun 2012 untuk melihat impak penempatan 
Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. 
Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan 
Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di 
sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru 
ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian 
dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan 
peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu 
peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan 
peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian 
akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.
22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim 
Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat 
secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana 
diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai 
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk 
kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred 
DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi 
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 
tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke 
DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru 
telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang 
ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah 
pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang 
dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan 
seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 
orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan 
dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh 
perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh 
membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini. 
24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan 
pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan 
bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan 
Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. 
Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke 
DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke 
DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua  dan Penolong Kanan yang 
merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan 
yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh 
kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang 
jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki 
penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655 
orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon 
memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai 
Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu 
satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi 
pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang 
berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini 
akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan 
prestasi.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan 
pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan 
bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan 
akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri 
teladan kepada murid dan masyarakat. 
27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya 
oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, 
tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, 
akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu 
yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam 
memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan 
terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk 
akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.
28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan 
negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima 
kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang 
berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi 
pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, 
samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima 
kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda 
semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat 
martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan 
kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.
Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya 
merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 
2012. 
Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu! 
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

SEMAK KENAIKAN PANGKAT - 24 053 ORANG GURU



KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini. 

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan. 

Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.


BHARIAN......Anda naik pangkat? Sila semak di SINI

Selasa, 15 Mei 2012

TEKS UCAPAN HARI GURU 2012 - WAKIL PELAJAR/MURID

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh....


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha, En Ali Bin Sarmin, Guru Besar SK Seri Pasir, Yang Dihormati Yang Dipertua PIBG Tn Hj Yusof Bin Osman, barisan penolong kanan, guru-guru yang diraikan, warga kerja SK Seri Pasir dan rakan-rakan sekalian.


Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama pada hari ini, menyambut Hari Guru Tahun 2012 ini.


Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah
'GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA'. Tema ini adalah tepat sekali berdasarkan peranan guru dalam mendidik anak bangsa ke arah melahirkan modal insan yang berketerampilan untuk membawa negara kita ke arah negara maju pada tahun 2020 nanti.


Guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi,


Setiap insan di dunia ini belajar daripada seorang guru. Tanpa guru kita tidak akan boleh membaca, menulis dan menguasai ilmu. Guru ibarat lampu yang menerangi kegelapan malam. Guru ialah insan yang mesti kita hormati selepas ibu bapa kita. Menghormati dan mematuhi arahan guru adalah sangat dituntut agar apa yang kita pelajari menjadi berkat dan dirahmati Illahi.


Rakan-rakan sekalian,


Marilah kita tanamkan tekad dan azam, untuk belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk diri kita dan ibu bapa kita, tetapi juga untuk guru-guru yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan buah fikiran demi untuk kecemerlangan kita semua. Guru-guru kita akan berasa bangga jika kita berjaya, namun guru juga akan turut kecewa dan berdukacita seandainya kita gagal dalam pelajaran.


Pada kesempatan ini, saya mewakili pelajar-pelajar sekolah ini, mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di SK Seri Pasir. Semoga guru-guru terus dianugerahi kekuatan dan ketabahan dalam mendidik kami.


Akhir kata, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, seandainya antara kami telah melakukan kesalahan dan kesilapan kepada guru-guru sama ada kami sedari atau tidak.
Pohon sirih pohon selasih
Tumbuh merimbun di hujung laman
Kalungan budi junjungan kasih
Menjadi kenangan sepanjang zaman

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum wbkh


Diadaftasi daripada blog SK JENGKA 12: Modified dan diubahsuai, sebab kesuntukan masa untuk memerah otak, murid berucap, cikgu juga yang kena sediakan, inilah jadinya. Sekolah rendah memang macam ni, dalam majlis ni pula saya juga kena jadi juruacaranya. Patut saya yang diraikan...hehehehehe.... 






Update: 9.00 malam 15 hb Mei 2012. Lokasi Pt Sulong. Last minute orang ramai membeli hadiah untuk guru-guru menyebabkan pekan kecil ini sesak dengan kenderaan. Kedai-kedai hadiah dan alat tulis dipenuhi orang hinggakan suasana bak malam hari raya Aidilfitri.

Isnin, 14 Mei 2012

PIKNIC DI DALAM KEBUN LAGI

Pagi Ahad, dimulai dengan gerimis. Kemudian hujan agak lebat mencurah-curah, membasahi bumi. Rezeki untuk segala tumbuh-tumbuhan, binatang dan dan serangga. Syukur kepada Allah yang terus menurunkan hujan di bumi bertuah ini.


Setiap kali cuti, aku akan mengajak dua anak lelaki aku ni ke kebun yang teletak 20 km daripada rumah kami. Fikiran jadi lapang melihat kehijauan pohon-pohon sepanjang perjalanan itu.


Kali ini basikal kecil itu aku masukkan ke dalam kereta, dan di lokasi yang sesuai aku lepaskan Irfan menikmati suasana desa.....Dua orang ni temankan aku kerana tiada orang langsung di kampung ini. Kalau pengsan siapa pulak nak tolong nanti. Kan kita pernah dengar ada orang mati mengejut di kebun kerana keletihan bekerja. Ada juga teman berbual dan mereka taklah asyik berperang dengan adik perempuan dan kakaknya di rumah. Kurang sikitlah tension emaknya tu.....heheheh
Oleh sebab cuaca lembab kesan hujan pagi tadi, kami masak guna lilin. Hahahahah!
Bab masak-masak ni yang budak-budak ni suka. Apa lagi masak mi segera. Kat rumah memang aku larang anak aku makan mi segera.


Jenuh juga masak guna lilin ni....lain kali aku nak bawa tong gas, habis cerita.

Sabtu, 12 Mei 2012

HOTEL PANTAI PUTERI TANJUNG KLING MELAKA


Pantai Puteri Hotel,
Jalan Tanjung Puteri, Tanjung Kling, 76400 Melaka.
Tel:06-3535555 / Fak : 06-3531555


 Kolam renang di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka
 Semuanya serba baru....



 Gambar aku mestilah ada...
 PERTANDINGAN MEMANCING DI DEPAN HOTEL PANTAI PUTERI, TANJUNG KLING 
 Aku bukan nak mengurat ...cuma nak bertanya-tanya tentang hotel ni
Aktiviti malam....makan-makan....
Baru lima minit balik dari kebun, Burhan call aku. Nak survey Hotel Pantai Puteri di Tanjung Kling, Melaka. Beberapa minit kemudian Burhan muncul dengan Vish kesayangan. Orang kuat SK SERI PASIR, Zulkeflee dan Ustaz Syukran sudah pasti bersama.

Kelab Bilik Guru sekolah kami akan mengadakan hari keluarga pada cuti pertengahan tahun ini.

Setelah melihat fizikal hotel ini, kami sangat berpuas hati. Tambahan pula hotel ini baru enam bulan beroperasi, jadi segala-galanya kelihatan bersih, menarik dan sempurna.

Bilik yang cukup selesa. Kolam renang yang cantik...dan apa lagi, semua adalah....!  

Jumaat, 11 Mei 2012

SHIMA; PERAKAM VIDEO BAYI DIDERA IBU KANDUNG MEMBERI PENJELASAN

PETALING JAYA: Niat untuk membongkar kejadian bayi didera oleh ibu kandung sendiri selama hampir tiga bulan menjadi episod malang apabila ia disalah erti sesetengah pihak yang menganggap perakam video itu tidak berhati perut. 

Perakam video itu, saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Shima, 32, berkata beliau menerima pelbagai tohmahan selepas video itu tersebar di media sosial.
"Bukan sengaja saya ingin merakamkan kejadian itu tetapi kerana inginkan bukti untuk diberikan kepada pihak polis bagi memastikan ibu kandung bayi yang berusia 10 bulan (ketika video dirakam) itu menerima hukuman selepas berbulan-bulan dia mendera bayinya, jadi saya terpaksa.
"Untuk mereka yang tidak tahu perkara sebenar, janganlah menuduh membuta tuli dan mengatakan saya bersekongkol, siasat dulu supaya tahu apa yang berlaku tetapi bila ini yang saya terima saya kesal dan sedih," katanya kepada pemberita sambil mengesat linangan air matanya. 

Beliau berkata, pada malam kejadian video itu direkodkan sekitar Mei tahun lalu, ibu bayi berkenaan yang berusia 20 tahun bertindak agresif dengan memukul anaknya selepas dia dinasihat supaya menghentikan penderaan terhadap anaknya serta menghalang wanita itu daripada berjumpa teman lelakinya. 

"Mungkin marahkan saya kerana membebel, wanita itu terus mencapai anaknya yang berada di ruang tamu ketika itu dan meluru masuk ke dalam bilik. 

"Wanita itu kemudiannya bertindak untuk mengunci pintu tetapi saya halang sehingga saya sendiri dikasari dan rambut saya ditarik dan diseret keluar dari bilik," katanya. 
Beliau berkata, selepas bergelut dengan wanita itu, dia akhirnya berjaya untuk berada di dalam bilik berkenaan dan kesempatan itu digunakannya untuk merakamkan tindakan agresif ibu bayi berkenaan. 

Shima berkata, wanita itu adalah anak kepada jirannya ketika dia menetap di Damansara Damai. 

"Saya kenal dia sebab saya berkawan baik dengan ibu angkatnya ketika saya menetap di Damansara Damai dan apabila ibu angkatnya meninggal, wanita ini membuat keputusan untuk tinggal bersama saya pada Mac tahun lalu," katanya. 

Beliau berkata, sepanjang wanita itu tinggal bersamanya, emosi wanita itu kerap kali berubah-ubah dan boleh dikatakan agak sosial. 

"Saya tidak kisah dia tinggal dengan saya, tetapi dia sosial dan bila keluar rumah keesokan harinya baru balik, bila bergaduh dengan teman lelakinya anak yang akan dijadikan sasaran. 

"Saya pernah bertanya kepada wanita itu bahawa dia menganggap anaknya sebagai apa dan katanya anaknya itu hanyalah tempat untuknya melepaskan geram," katanya. 

Menurut laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, wanita yang mendera bayi perempuannya sendiri dalam klip video yang kini tersebar di media sosial, sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana perbuatannya itu. 

Kes itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan terhadap wanita itu dibuat pada hari sama. 

Berikutan penyebaran video penderaan bayi itu, PDRM menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi itu. 


Kredit: Berita Harian-Terus terang aku tak pernah sanggup menonton video seperti itu, sebab aku ada anak kecik, boleh bayangkan bagaimana kejamnya, mungkin ibu kandung ini gila biba..

Khamis, 10 Mei 2012

GAMBAR-GAMBAR SUKHOI SUPERJET 100 SEBELUM TERHEMPAS DI GUNUNG SALAK


Lystseva Marina, seorang jurugambar profesional turut bersama di dalam kapal terbang ini semasa penerbangan dari Russia ke Indonesia, namun kemudiannya beliau mengambil gambar daripada lapangan terbang tersebut, bagi menyaksikan penerbangan rasmi pertama di Indonesia bagi pesawat tersebut.




Gambar disnap oleh blogger Russia Sergey Doyla, sebelum pesawat tersebut terbang di langit Jakarta

Sukhoi Superjet 100 buatan Russia hilang di Bogor, Jawa Barat. 50 orang dipercayai berada dalam pesawat tersebut. Ia dipercayai jatuh di Gunung Salak, Bogor.


Gunung Salak
Pencarian di Gunung Salak sangat sukar, kerana fizikal gunung tersebut sangat mencabar dan ekstrem. Bertambah membimbangkan cuaca  buruk menyukarkan lagi kerja-kerja mencari mangsa-mangsa nahas tersebut.



Video CNN
Hancur luluh semua waris melihat pesawat ini hancur berkecai dan berserakan di lereng Gunung Salak.Gambar diambil daripada helikopter penyelamat. Untuk menyatakan ada yang hidup dalam kemalangan ini adalah satu keajaiban dan terlalu awal.

Rabu, 9 Mei 2012

MENUDUH ISTERI BERZINA PERLU ADA BUKTI KUKUH


Jika tidak benar, pasangan boleh nafi dengan bersumpah di mahkamah syariah 

Gambar kredit: Gilerkentang.com

SALAH satu alasan difailkan suami di Mahkamah Syariah sama ada dalam tuntutan suami bagi mengisytiharkan isteri nusyuz, derhaka, atau semasa membela tuntutan cerai oleh isteri ialah menuduh isteri ada hubungan atau berzina dengan lelaki lain.

Dalam sesetengah keadaan yang lain, ada suami menafikan kandungan yang dikandung isteri daripada darah dagingnya sendiri. Kedua-dua tuduhan ini suatu yang serius dan amat berat dalam Islam, walaupun tuduhan itu hanya dibuat secara bertulis semasa membela tuntutan perceraian isteri.
Suami yang menuduh isteri melakukan zina perlu membuktikannya dan ini
menjadi beban melainkan beliau sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah. 

Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu atau tiada saksi yang menyaksikan isterinya berzina, tetapi dia yakin perkara itu berlaku, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk bersumpah li’an (menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab anak yang dikandung isterinya). 

Suami yang bersumpah li’an hendaklah bersumpah empat kali ‘bahawa dia adalah orang yang benar’ dan pada kali kelimanya, ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta’. 

Tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri menafikan tuduhan suami dan sanggup bersumpah, maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. 
Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali ‘bahawa suaminya itu berdusta’ dan pada kali kelimanya ‘bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar’. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya saja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, ayat 6-9) 

Tuntutan untuk kedua-dua sumpah ini perlu dilakukan di Mahkamah Syariah. Oleh itu, suami usahlah terlalu mudah membuat tuduhan terhadap isteri jika tiada bukti kukuh. 

Menurut hukum syarak, jika yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Had qazaf hanya akan gugur jika beliau bersumpah. 

Jika isteri yang dituduh pula tidak menafikan atau menolak tuduhan suaminya dengan bersumpah li’an, maka tuduhan suami boleh disabitkan sebagai benar dan isteri akan dikenakan hukuman seperti hukuman ke atas orang yang berzina. 

Tetapi jika kedua-duanya bersumpah li’an, maka ia akan memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri. Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li’an, maka ikatan perkahwinan akan terputus dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya. 

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.” (Hadis riwayat Daruqutni) 

Seksyen 50A, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan: Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya. 

Hakim Syarie diberi kuasa untuk memerintahkan perkahwinan suami isteri itu dibubarkan, setelah salah seorang atau kedua-duanya bersumpah li’an di Mahkamah Syariah. 

Tuduhan zina adalah suatu tuduhan yang berat, lebih-lebih lagi jika tuduhan dibuat terhadap isteri sendiri. Usah membuat tuduhan jika tiada bukti kukuh. Jika seorang suami tidak lagi mempercayai kejujuran isteri, maka gunakanlah kuasa talak dengan sebaiknya dan ceraikan isteri secara baik. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Talak itu dua kali, maka hendaklah kamu pegang secara makruf atau kamu lepaskan secara ihsan.” (Surah al-Baqarah, ayat 229) 





Oleh Musa Awang: BHARIAN (Peguam Syarie). Isu berkaitan KLIK